Wednesday, 6 December 2017

KRITIKAN SASTERA 1 (Cerpen)

Assalamualaikum semua pembaca. Posting hari ini tentang kritikan sastera pulak ya.

Cerpen Baju Merah Baju Kuning karya Hamidah Kamaruddin merupakan sebuah cerpen yang menceritakan tentang liku-liku kehidupan seorang wanita yang bernama Lijah, di mana beliau kerap ditimpa ujian tetapi beliau tetap tabah menghadapinya. Cerpen ini mempunyai penceritaan yang menarik kerana penulis menyampaikan kisah yang sebenarnya satu realiti pada masa kini. Penulis telah melakukan sesuatu yang sangat berbeza berbanding dengan cerpen-cerpen yang lain. Walaubagaimanapun, terdapat juga beberapa kelemahan di dalam penulisan cerpennya.

Pertama sekali, penulis sebenarnya bukan sahaja menceritakan tentang realiti hidup pada masa kini bahkan penulis juga dapat menyampaikan sebuah cerita yang menyentuh perasaan pembaca kerana cerpen ini menceritakan tentang seorang wanita bergelar ibu yang berjuang dan berkorban demi anak-anaknya. Seperti yang kita tahu, ibu atau bapa adalah orang yang paling berharga bagi setiap manusia. Namun begitu,cerpen ini boleh dikatakan terlalu ringkas kerana pengakhiran untuk cerpen ini seperti cerita yang tergantung. Pembaca seolah-olah baru sahaja mencapai klimaks penceritaan tersebut tetapi cerita tersebut telah tamat secara tiba-tiba.

Seterusnya, penulis banyak menggunakan kata adjektif yang menarik di dalam penulisan cerpen ini. Contohnya, ayat ‘Harapan tambah gaji atau sekurang-kurangnya naik supervisor berkubur bersama suara serak basah Mr Ma mengusik pekerja shif malam.’ Di dalam ayat ini, penulis memberikan kata adjektif kepada perkataan ‘suara’ iaitu ‘ serak basah’. Tetapi penulis juga banyak menggunakan perkataan-perkataan yang mungkin tidak diketahui ramai. Hal ini membuatkan para pembaca akan berasa tertanya-tanya kerana perkataan-perkataan tersebut boleh dikatakan asing dan penggunaannya sangat terhad di dalam bahasa Melayu. Pembaca akan serta merta tidak faham akan jalan ceritanya disebabkan oleh penggunaan perkataan-perkataan tersebut. Di samping itu, pembaca juga mungkin akan mengambil masa untuk mencari makna perkataan tersebut untuk memahami penceritaan itu. Antara perkataan yang dimaksudkan ialah seperti bau pering, jidat, kutai, sojar dan kertang.

Cerpen ini juga boleh dikatakan menarik dan kreatif kerana penulis ada menggunakan perumpamaan untuk menerangkan sesuatu keadaan atau sesuatu benda. Contohnya perkataan ‘betik muda’ yang digunakan penulis membawa maksud  perempuan muda atau anak dara. Kelemahannya pula ialah penulis kerap menggunakan ayat-ayat yang sukar difahami atau boleh juga dikatakan susunannya seperti tidak betul. Sebagai contoh, beberapa kelompok ayat seperti ‘Jari-jari kejar-mengejar melipat susun kertas akhbar sesetengah kuning kertang. Jari-jari sama terkitai-kitai menarik seluar panjang merosot pinggul. Sesusuk tubuh dibalut kemeja kecil coklat separuh tunduk. Segera hujung seluar ditarik lipat hingga pangkal lutut menampakkan buah betis berselirat urat biru.’ Ayat ini seperti tidak tersusun dan sukar untuk difahami mungkin kerana penulis ingin menggunakan elemen gaya penceritaan bahasa Melayu lama. Jika kita lihat pada penggunaan bahasa atau ayat di dalam karya-karya sastera Melayu lama, kita akan dapat lihat ayat-ayat berbentuk seperti ini.


Semoga apa yang disampaikan dapat memberi manfaat kepada semua orang sama ada pembaca mahupun penulis. Sekian terima kasih. 

Tajuk cerpen   : Baju Merah Baju Kuning
Penulis            : Hamidah Kamaruddin

0 comments:

Post a Comment

 

WARKAH SASTERA Copyright © 2012 Design by Ipietoon Blogger Template