Wednesday, 6 December 2017

Kritikan Sastera (Sajak: Kain Buruk Ayah)

     
Kredit: Jonathan Reza

    Tema yang ingin diketengahkan oleh penyajak dalam sajak Kain Buruk Ayah ialah pengorbanan dan kasih sayang seorang bapa menempuhi kesukaran serta kepayahan dalam menyara keluarga. Kemiskinan yang dihadapinya bukanlah suatu penghalang baginya menjalankan kewajipan kepada keluarga dan Tuhan. Hal ini jelas digambarkan dalam rangkap ke-2 sajak.
    Pengulangan kata kain buruk ayah dalam sajak yang diulang pada setiap rangkap mampu menekankan imej kesusahan serta kedaifan yang dialami oleh watak Ayah dalam menjalani kehidupan seharian. Hal ini dikuatkan dengan rangkap ketiga sajak.
    Pemikiran yang ingin ditonjolkan oleh penyajak dalam sajaknya ialah perasaan hiba dan sedih seorang anak mengenangkan perihal kesukaran yang dihadapi oleh seorang bapa untuk membesarkan anak-anaknya. Penyajak juga cuba meniupkan perasaan rindunya seorang anak kepada bapanya yang sudah tiada kerana jasanya yang tidak terhingga.
    Pengajaran dapat dipetik daripada penulisan puisi ini ialah kecekalan yang tinggi dalam menghadapi kepayahan. Kesukaran yang dihadapi seringkali menjadikan seorang insan itu lemah tidak bermaya. Dengan adanya kecekalan yang jitu dalam diri, seseorang individu itu akan mampu menghadapi dan meneruskan liku-liku kehidupan yang mencabar.
    Seterusnya, mengambil contoh watak Ayah dalam sajak, sebagai seorang muslim kita tidak seharusnya melupakan atau mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita. Mengambil contoh Ayah yang tetap menunaikan hak keluarga dan agamanya dengan sempurna walaupun dihimpit kemiskinan.
    Pengajaran yang turut boleh dipetik ialah sikap kasih sayang yang dipupuk dalam kalangan ahli keluarga. Sikap ini perlu dalam menjamin hubungan yang erat dan kesefahaman dalam sesebuah institusi kekeluargaan.

Tajuk Puisi: Sajak: Kain Buruk Ayah
Penyajak: Muzamir
Sumber daripada: https://penyair.wordpress.com

0 comments:

Post a Comment

 

WARKAH SASTERA Copyright © 2012 Design by Ipietoon Blogger Template